NAIK TARAF STADIUM HOKI BUKIT SERINDIT BERMULA JULAI
DUYONG 14 Januari – Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit bakal dinaik taraf membabitkan kos RM5 juta.
Presiden Hoki Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, peruntukan bagi kerja-kerja naik taraf itu disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan ia dijangka mengambil masa kira-kira 15 bulan.
“Untuk makluman kita menerima peruntukan berjumlah RM5 juta bagi kerja naik taraf stadium hoki ini membabitkan padang rumput tiruan, sistem pengairan dan fasiliti termasuk kerusi tempat duduk penonton.
“Kerja naik taraf ini akan bermula pada Julai nanti dan dijangka akan mengambil masa setahun setengah sebelum siap sepenuhnya sekaligus berwajah baru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhir kejohanan Liga Hoki Melaka 2024/2025 bagi Kategori Bawah 12 Tahun dan majlis penyampaian hadiah di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit.
Hadir sama, Timbalan Presiden Hoki Melaka, Datuk Shadan Othman.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, bagi melahirkan lebih ramai pemain hoki profesional dari Melaka, Persatuan Hoki Melaka akan bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka.
“Seperti sedia maklum SMK Tinggi Melaka merupakan sekolah yang sentiasa aktif dan melahirkan ramai pemain hoki.
“Justeru itu, sekarang ini kita telah pun memutuskan di dalam mesyuarat persatuan untuk memilih bekerjasama dengan SMK Tinggi Melaka bagi memperkasakan lagi sukan ini dari sudut padang, kemudahan dan kita akan bantu bersama-sama,” katanya.
Mewakili Persatuan Hoki Melaka, beliau turut memohon agar Jabatan Pendidikan Negeri untuk membawa cadangan menubuhkan akademi hoki di Melaka kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam merealisasikan hasrat itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.