Naik taraf Pulau Besar sudah lebih 50 peratus – MPPM
AYER KEROH 3 Januari – Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM) telah melaksanakan lebih 50 peratus kerja-kerja menaik taraf kemudahan di Pulau Besar sejak tahun 2020.
Penolong Pegawai Perancang Bandar MPPM, Mohd Fakrul Affendy Hamzam berkata usaha itu bertujuan untuk mempromosikan Pulau Besar sebagai produk pelancongan baharu Negeri Melaka.
Menurutnya antara kerja yang sudah dijalankan adalah membina kemudahan awam ‘imprint walkway’ dan papan tanda ‘Damai@PulauBesar’.
“Untuk tempoh satu hingga tiga tahun pertama ini fokus kami adalah bagi kerja menaik taraf infrastruktur sebelum pergi ke peringkat yang lebih jauh. Tujuan projek ini dijalankan bagi memastikan orang awam yang mengunjungi Pulau Besar selesa dan selamat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Mohd Fakrul Affendy berharap segala usaha dilaksanakan untuk membangunkan Pulau Besar sebagai produk pelancongan Negeri Melaka mendapat sokongan daripada semua pihak.
“Kemudahan sebelum ini ada cuma kurang memuaskan, sekarang sudah nampak perubahan ketara, antara projek besar sudah dilaksanakan adalah membaik pulih jeti sedia ada.
“Insya-Allah Mac atau April ini kita akan lihat perubahan lebih besar di pulau ini, diharap lebih banyak pembangunan boleh dilakukan agar Pulau Besar setanding dengan pulau-pulau lain di seluruh Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.