Sorting by

×

Naik satu kereta empat orang, remaja lelaki dikenakan kompaun

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ALOR GAJAH 1 Ogos – Tindakan empat remaja lelaki menaiki sebuah kereta untuk ‘melepak’ di Jalan Kereta Api Lama, Durian Tunggal, dekat sini, membawa padah apabila dikompaun RM1,500 setiap seorang.

Aktiviti remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun dikesan semasa polis menjalankan Op Samseng, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, Op Samseng itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSTP) Alor Gajah.

ARSHAD.

Katanya, hasil soal siasat mendapati keempat-empat remaja berkenaan menaiki kereta terbabit untuk melepak di kawasan itu.

“Menerusi operasi berkenaan, polis mendapati semua mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan menaiki kenderaan melebihi had penumpang.

“Berikutan itu, polis mengeluarkan kompaun bernilai RM1,500 setiap seorang kerana melakukan kesalahan Peraturan 16 Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2001,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, dalam operasi sama, Arshad berkata, pihaknya mengeluarkan 57 saman kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan.

“Antaranya termasuk menunggang motosikal bawah umur 16 tahun, tiada lesen memandu dan melakukan ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan tidak memasang cermin sisi.

“Dalam operasi sama, dua motosikal turut disita kerana didapati melakukan pengubahsuaian pada ekzos,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang ingkar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

682
Kongsi :
Previous post Pengamal media berdedikasi bawa berita terkini untuk masyarakat
Next post Peningkatan kes COVID-19 punca kutipan darah berkurangan
Ubah saiz-+=