Nahas lima sekeluarga: Trak pikap hilang kawalan, rempuh MPV
GERIK, 24 Julai – Siasatan awal polis mendapati, trak pikap jenis Toyota Hilux telah hilang kawalan dan bertembung dengan Perodua Alza dinaiki lima sekeluarga yang maut dalam satu kemalangan di KM62, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata akibat hilang kawalan, Toyota Hilux itu telah masuk ke arah jalan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) itu yang dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.
“Impak dari kemalangan itu menyebabkan pemandu dan empat penumpang Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian. Kesemua mangsa berasal dari Sungai Petani dan Lunas, Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu termasuk empat penumpang Toyota Hilux yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Jeli, Kelantan.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai dinasihtkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu serta merancang perjalanan serta mendapatkan rehat yang secukupnya ketika ingin melakukan perjalanan yang jauh.
Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang semalam, lima mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Khomaini Baba, 32, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, Mohamad Rodhi Othman, 64, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.