NAHAS KM204: TAYAR LORI TERCABUT ‘HILANG’, POLIS PERGIAT USAHA PENCARIAN
ALOR GAJAH 4 Januari – Polis kini sedang mencari dan mengesan tayar lori tercabut yang dipercayai menjadi punca nahas di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara yang mengakibatkan tujuh maut, 23 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tayar berkenaan tidak ditemui selepas kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dilakukan.
Menurut beliau, berdasarkan keterangan Pegawai Operasi Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel), tayar lori treler yang tercabut itu tidak ditemui di lokasi kejadian dan memaklumkan sampah serta sisa kemalangan telah dibawa oleh sebuah lori Roll On Roll Off (RORO).
Justeru, pihaknya telah mengambil keterangan pemandu lori RORO yang telah membawa sampah dan sisa kemalangan ke tempat pelupusan di Segamat.
“Usaha mengesan tayar tersebut bersambung hari ini, di mana radius pencarian akan dilakukan di sekitar Tangkak dan Segamat,” katanya.
Menurut Ashari, pihaknya juga telah mendapatkan keterangan pemandu lori ‘subcon’ Propel yang menjalankan pembersihan di tempat kejadian dan pada masa sama, akan terus menyiasat sama ada pemandu lori treler berkenaan telah mengambil tayar tersebut.
Dalam kejadian 23 Disember lalu, tujuh maut dalam kemalangan membabitkan dua buah lori, dua kereta dan sebuah bas persiaran di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara.
Nahas itu mengorbankan lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima serta pemandu dan penumpang bas persiaran, selain turut mengakibatkan 33 yang lain mengalami kecederaan.
Kemalangan dipercayai berpunca daripada tayar sebuah treler yang tercabut di tengah jalan sebelum dilanggar bas persiaran yang membawa 27 penumpang menghala ke selatan.
Pelanggaran itu menyebabkan bas tersebut terbabas ke laluan bertentangan, lalu merempuh sebuah kereta Perodua Bezza sebelum bertembung dengan sebuah lagi lori jenis Nissan dan MPV yang menghala ke utara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.