Nahas kemalangan bas : Terkilan tidak sempat jumpa kakak

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER LIMAU 9 Jun – “Sepatutnya kami berjumpa dua minggu lepas ketika saya pulang tetapi tidak sempat, agak terkilan tidak dapat berjumpa kakak,” itu kata Mejar Mohd Hafizuddin Hasan.

Mohd Hafizuddin, 37, adalah adik bongsu kepada Guru Penolong Kanan 1, Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, iaitu Hasnatul Adilah Hasan yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, awal pagi tadi.

Dia yang bertugas di Sungai Petani, Kedah sepatutnya berjumpa kakaknya dua minggu lepas di Pantai Tanjung Bidara kerana ada majlis keluarga.

“Memang tidak sangka apabila menerima panggilan telefon kira-kira jam 4 pagi tadi yang mengatakan kakak sudah tiada akibat kemalangan.

“Saya dan kakak amat rapat dan sepanjang perjalanan pulang ke Melaka saya menangis setiap kali teringatkan arwah kakak,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Muhtadi, Ramuan China Besar.

Whatsapp Image 2024 06 09 At 6.55.17 Pm
ANAK lelaki arwah (duduk) ditenangkan ahli keluarga.

Mohd Hafizuddin berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan kakaknya adalah Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Arwah seorang kakak yang amat penyayang dan ‘open minded’ selepas ini tidak dapat lagi merasai hidangan sambal sardin yang dimasak kakak.

“Selepas pemergian ibu pada 2004 kakak jugalah tempat berkongsi cerita namun selepas ini saya hilang tempat mengadu.

“Kakak sebelum ini ada menyuarakan untuk menjadi ‘popular’ mungkin bergurau tetapi tidak sangka memang popular hinggala  menteri dan Ketua Menteri ucapkan salam takziah,” katanya.

Jelasnya, arwah kakak sepatutnya akan menyambut hari lahir pada 16 Jun, namun arwah terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka sekeluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

731
Kongsi :
Previous post Harga diesel di Semenanjung ditetapkan RM3.35 seliter mulai 12.01 tengah malam ini
Next post Jenazah Hasnatul Adilah selamat dikebumikan
Ubah saiz-+=