Sorting by

×

Nahas Elmina: Data CVR pesawat berjaya diekstrak

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

PUTRAJAYA, 29 Ogos – Data perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas berjaya diekstrak di makmal Florida, Amerika Syarikat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata data tersebut diesktrak Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dengan bantuan pihak makmal pengilang peralatan asal (OEM) CVR iaitu L3Harris apabila voice data daripada perakam itu berjaya diperoleh semula.

“Data tersebut berjaya dimuat turun. Jadi semua rakaman suara dalam pesawat itu, terutama 30 minit terakhir termasuk sehingga nahas berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke berkata rakaman audio tersebut telah dihantar kepada pasukan siasatan di Malaysia untuk dianalisa dan laporan awal dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Jadi semua rakaman suara tersebut daripada dua juruterbang itu akan dianalisis sebaik mungkin, dan juga apa yang berlaku dalam kokpit dapat dijadikan bahan siasatan untuk mengenal pasti apakah punca berlakunya nahas terbabit,” katanya.

Loke berkata laporan awal nahas pesawat tersebut akan akan dipaparkan dalam laman web rasmi Kementerian Pengangkutan dan ia menjadi laporan asas untuk membuat laporan terperinci dan laporan akhir yang kebiasaannya mengambil masa setahun untuk disiapkan.

Beliau berkata pasukan BSKU akan melaksanakan siasatan untuk mencari apa punca nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dan menyarankan langkah keselamatan di masa depan.

“Ia bukan untuk mencari salah siapa, ia untuk mengenal pasti apakah punca nahas itu berlaku.

“Jadi apabila kita mendapat laporan itu, kalau ada kelemahan dalam sebarang aspek, kita perlu mengambil langkah untuk memastikan insiden itu tidak berulang,” katanya.

Nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina pada 17 Ogos itu mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Mereka terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta, yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Ditanya kesukaran pasukan BSKU untuk mengekstrak data itu, Loke berkata pasukan berkenaan mengambil masa seharian bagi mendapatkan balik data CVR tersebut.

“Mereka menghadapi kesukaran untuk meninggalkan AS kerana ribut taufan di Florida. Pasukan ini masih berada di Florida. Mereka sepatutnya pulang sebaik sahaja data diperoleh tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian.

“Tetapi data telah dihantar ke sistem e-mel yang selamat, jadi kami sudah mempunyai rakaman suara di Malaysia. Kita berjaya dapatkan semula data dan rakaman suara itu amat jelas dan dalam keadaan baik,” katanya yang enggan membuat rumusan data audio itu sehingga siasatan selesai.

Pada 24 Ogos lepas, Loke dilaporkan berkata Ketua Inspektor BSKU berlepas ke AS untuk menghantar memory puck yang terdapat di dalam CVR milik pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu ke makmal di Florida untuk diekstrak dan dianalisa.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3696
Kongsi :
Previous post Persembahan pesawat warnai langit Melaka bulan depan
Next post Hari Kebangsaan: Aspek kebersihan jadi keutamaan SWM Environment
Ubah saiz-+=