Sorting by

×

Nafi terima suapan hampir RM6,000

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 18 Feb – Timbalan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah hampir RM6,000.

Tertuduh, Mohamad Yusof Kameh, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Yusof yang ketika itu bertugas sebagai Pengarah AADK Melaka didakwa secara rasuah menerima suapan berjumlah RM5,900 untuk dirinya daripada seorang individu sebagai upah dengan memilih tiga syarikat pembekalan.

Ia bagi melakukan kerja-kerja menyelenggara lokap, memilih untuk perkhidmatan mencetak dan membekal beg kertas agensi, menyelenggara genset serta menyediakan kelengkapan makanan dan minuman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat AADK Melaka, Ayer Keroh, antara 24 Nov 2017 sehingga 19 Mac 2019.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan pilihan yang ditawarkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Prosiding pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat memohon jaminan RM5,000 diberikan kepada tertuduh selain perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM dan passport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah diberikan kepadanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 selain mengarahkannya melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM dan juga menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 16 Mac tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

735
Kongsi :
Previous post Sehari je dah boleh dapat lesen niaga – Dr Akmal
Next post COVID: 26,701 kes baharu semalam – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=