NADMA anjur bengkel tingkat kesiapsiagaan agensi dalam pengurusan bencana

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Dalam usaha memastikan kefahaman agensi terhadap fungsi dan peranan masing-masing dalam pengurusan operasi bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menganjurkan Bengkel Pengurusan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi Zon Tengah di Ipoh, Perak.

Bengkel dua hari bermula semalam itu disertai 117 peserta terdiri daripada wakil Setiausaha Kerajaan negeri, pejabat daerah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan bengkel tersebut dapat membantu agensi itu membuat penilaian serta penambahbaikan garis panduan dan pelan kontigensi sedia ada bagi memastikan kesinambungan pengurusan bencana yang berkesan.

Selain itu, NADMA juga dapat menilai serta menambah baik keberkesanan komunikasi pelbagai peringkat merangkumi operasi di lapangan, taktikal di peringkat negeri dan strategi di peringkat pengurusan bencana pusat.

“Platform ini juga akan dapat membantu agensi-agensi berkaitan menambah baik strategi pengendalian bencana di peringkat PKOB dan PKTK kerana kunci kepada kejayaan sesuatu operasi bencana bergantung kepada koordinasi yang cekap, menyeluruh dan pantas.

“Kesiapsiagaan terhadap bencana perlu melibatkan kerjasama bersepadu di antara agensi kerajaan, bermula dari peringkat pusat, negeri dan daerah serta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuklah orang perseorangan,” menurut kenyataan itu.

Menerusi bengkel itu, peserta turut menyertai Table Top Exercise (TTX) yang merupakan gambaran simulasi untuk merancang dan membuat tindakan secara strategik ketika berhadapan dengan situasi kritikal atau bencana.

Latihan simulasi berkala yang diadakan setiap tahun itu merupakan langkah proaktif NADMA dalam memberi pendedahan yang berterusan kepada kumpulan pengurusan bencana.

“Sebagai persiapan bencana, peserta diberi pendedahan kepada isu-isu lapangan melalui senario bencana yang berbeza kepada yang bertanggungjawab membuat keputusan di PKTK dan PKOB negeri,” menurut NADMA.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1865
Kongsi :
Previous post PRU15: Strategi kempen dalam talian, media sosial ‘berbisa’
Next post Mangsa banjir di Langkawi meningkat
Ubah saiz-+=