Nadi Rakyat Melaka bantu pelajar IPT

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 4 Feb. – Dalam membantu rakyat terkesan pandemik COVID-19, Pertubuhan Nadi Rakyat Melaka mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini.

Pengerusi Medianya, Firda Ayu Mohd Zubir berkata, usaha itu sekali gus membantu pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman bertahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Kami terpanggil untuk memberi bantuan barang keperluan harian kepada pelajar IPT di negeri ini kerana simpati nasib mereka yang tidak dapat balik ke rumah masing-masing.

“Kali ini kita pilih 10 rumah sewa pelajar IPT di sekitar Taman Tasik Utama dan Bukit Beruang untuk mendapat bantuan ini.

“Setiap seorang penghuni menerima bantuan barangan keperluan bernilai RM60,” katanya kepada MHI.

Katanya, peruntukan untuk menyediakan barangan keperluan itu dikumpul daripada sumbangan individu dermawan yang berhasrat membantu penuntut terbabit.

“Kita dapat kumpul sumbangan RM1,000, jadi baki lagi RM400 saya akan salurkan pada hari Ahad ini yang mana saya sendiri akan masak makanan untuk diberikan kepada mereka,” katanya lagi.

Antara barang keperluan asas diberikan seperti cili boh, ikan bilis, sardin tin, uncang teh, sayur-sayuran serta bawang.

Katanya, inisiatif itu akan berterusan dan diharap orang ramai dapat bersama membantu menyalurkan barangan keperluan buat golongan memerlukan sepanjang PKP 2.0.

Views:

503
Kongsi :
Previous post Tukar bahan terbuang kepada bahan berguna – PTHM
Next post COVID-19: Peningkatan mendadak sehingga 238 individu positif hari ini
Ubah saiz-+=