‘NADI’ KUALA LINGGI SIAP FEBRUARI INI
KUALA LINGGI 19 Januari – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi bakal menerima satu Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dijangka siap sepenuhnya bulan depan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, NADI baharu tersebut akan ditempatkan di Kampung Bukit Darat, selepas Melaka menerima sembilan projek NADI di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Pada tahun 2024, Kerajaan Persekutuan meneruskan sembilan projek NADI baharu di Melaka, salah satu projek NADI baharu yang diterima adalah di DUN Kuala Linggi dan prosesnya sekarang dalam pembinaan.
“Dari segi pembinaan dalaman (interior) sudah disiapkan dan insya-Allah pada bulan Februari ini majlis serahan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Darat di DUN Kuala Linggi akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Kuala Linggi dan Perasmian Dewan Bakti Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Shawal yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Dalam pada itu, Fairul Nizam turut berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meluluskan tambahan projek NADI di Negeri Melaka pada tahun ini.
“Sebanyak sembilan projek NADI diluluskan Kerajaan Pusat pada tahun 2024 dan di pihak Kerajaan Negeri berharap pada tahun ini ada lagi tambahan NADI baharu yang akan diluluskan oleh SKMM,” ujarnya
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.