MySejahtera: ‘Mudah, ringkas dan efektif’
AYER KEROH 17 Jun – Pelaksanaan aplikasi MySejahtera bagi membendung penularan wabak COVID-19 antara kaedah terbaik kerajaan mengatasi pandemik ini.
Menerusi aplikasi yang dilancarkan sejak lapan minggu lalu seramai 3.7 juta pengguna telah mendaftar aplikasi ini setelah memperkenalkan fungsi terbaharu secara rintis pada awal bulan lalu.
Media tempatan melaporkan penjejakan kawasan panas (hotspot tracker) dan penilaian kendiri termasuk MySejahtera Check-In yang mendapat sambutan hangat selama 13 hari.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati rata-rata penduduk negeri ini telah mendaftar aplikasi berkenaan dan menunjukkan maklum balas positif dengan inisiatif ini.
Menurut seorang penduduk, Sazzul Iqfan Sazali, 26, berkata, penggunaan aplikasi berkenaan banyak membantunya bagi mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan semasa penularan virus ini.
“Aplikasi yang sewajarnya disarankan kepada orang ramai malah saya turut memastikan setiap ahli keluarga memuat turun aplikasi ini kerana ia amat penting termasuk kepentingan menggunakan pengimbas kamera yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk berkata, pengimbas berkenaan adalah alternatif terbaik bagi mendaftar masuk sebelum memasuki mana-mana premis selain daripada kaedah mendaftar di buku rekod.
“Dengan mengimbas saja ia begitu mudah tanpa perlu memegang pen yang telah digunakan oleh orang ramai yang menulis nama di buku rekod disediakan,”katanya.
Pada masa sama, Nurul Ashikin Abdul Halim, 27, berkata, aplikasi berkenaan banyak membantunya mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan semasa COVID-19 dengan lebih mudah.
“MySejahtera begitu mudah digunakan dengan direksi pelbagai segmen terdapat pada aplikasi ini dan maklumat yang ringkas dan mudah difahami.
“Setelah ia dikemaskini aplikasi ini dilihat mendapat sambutan kerana penggunaannya yang efektif disebabkan kemudahan pengimbas yang disediakan,” katanya.