Sorting by

×

MYSaveFood diperluas ke pasar malam

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

MERLIMAU 12 April – Program MYSaveFood Ramadan akan diperluas ke pasar malam seluruh negara selepas Aidilfitri ini kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh.

Fuziah berkata program itu bertujuan untuk ‘menyelamatkan’ makanan yang masih elok dan berlebihan sepanjang Ramadan.

Katanya, pelaksanaan program itu adalah susulan kejayaan inisiatif mengurangkan pembaziran makanan di tapak bazar Ramadan.

“Kita lihat program MYSaveFood ini amat berjaya dan sudah ada prosedur operasi standard (SOP). Antara SOP ditetapkan setiap makanan yang didermakan itu masih elok dan boleh dimakan dalam tempoh dua jam sebelum basi.

“Program ini dipanjangkan ke pasar malam dengan kerjasama persatuan-persatuan peniaga selain turut melibatkan Gerakan Pengguna Siswa (GPS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kempen Menyelamatkan Pembaziran Makanan MYSaveFood di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Bandar Baru Merlimau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya Tuminah Kadi @ Mohd Hasim serta Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata peniaga yang ingin menderma secara sukarela di bawah program MYSaveFood tanpa mengharapkan insentif itu juga akan dilindungi undang-undang.

Semalam, KPDN melaporkan lebih 18 tan makanan dan minuman yang dijual peniaga di bazar Ramadan diselamatkan dan kemudiannya diagihkan kepada golongan memerlukan di seluruh negara sejak awal Ramadan lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3120
Kongsi :
Previous post Dua tahanan Indonesia lolos dalam perjalanan ke penjara berjaya ditahan semula
Next post Pekerja kilang maut tercampak 20 meter
Ubah saiz-+=