Sorting by

×

MYLESEN: MELAKA DAPAT 800 KUOTA LESEN B2 PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUALA LINGGI 15 Januari – Melaka menerima sebanyak 800 kuota tawaran lesen memandu kelas B2 secara percuma kepada rakyat menerusi inisiatif MyLesen, tahun ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kuota tersebut akan dibahagikan ke seluruh negeri khusus kepada mereka berusia 18 hingga 35 tahun.

Menurut beliau, sama seperti tahun lalu, keutamaan bagi inisiatif lesen B2 percuma itu akan diberikan kepada mereka dalam golongan B40.

“Kuota ini akan dibahagikan mengikut 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Melaka dengan fokus kepada mereka dalam keluarga berpendapatan rendah.

“Untuk permulaan, tawaran ini akan dibuka di DUN Kuala Linggi bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) mengikut kuota yang ditetapkan, di mana penduduk di kawasan ini boleh mendaftar di kaunter yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Melaka Muhammad Firdaus Sharif.

Menurut Hameed, sepanjang W.R.U.R DUN Kuala Linggi, JPJ Negeri Melaka telah mengadakan pelbagai program bersama rakyat dan pelajar sekolah.

Selain itu, jabatan tersebut turut membawakan van bergerak bagi memudahkan masyarakat di Kuala Linggi menghidupkan lesen, membayar saman dan memperbaharui cukai jalan.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

227
Kongsi :
Previous post ADVOKASI, KESEDARAN TANGANI BULI SIBER
Next post UTEM TERUS PRIHATIN BANTU KEBAJIKAN MANGSA BANJIR DI KELANTAN
Ubah saiz-+=