Sorting by

×

MyKad hilang, rosak? Tiada alasan tidak mengundi esok

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELAKA 19 Nov – Mereka yang hilang atau mengalami kerosakan MyKad tidak boleh lagi memberi alasan untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Ini kerana, bagi memastikan kelancaran PRN kali ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ayer Keroh akan membuka kaunter bagi membolehkan orang awam memperbaharui Mykad mereka yang hilang atau rosak.

Pengarahnya, Norazle Sulaiman berkata, kaunter akan mula dibuka pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Misalnya, jika Mykad hilang atau rosak pada sebelah pagi, orang awam boleh datang segera ke kaunter JPN Ayer Keroh bagi mendapatkan MyKad baharu dalam masa hanya 30 minit sahaja.

“Selepas selesai urusan di kaunter, mereka boleh ke pusat mengundi di kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Seramai 476,037 pengundi biasa dijangka keluar mengundi pada PRN Melaka pada Sabtu ini berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRN negeri diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Menurut Norazle, inisiatif jabatan membuka operasi kaunter pada hari pengundian disebabkan kepentingan dokumen MyKad yang wajib ada pada setiap pengundi.

“Kalau MyKad tiada atau rosak, pengundi tidak dibenarkan mengundi jadi, kita ambil inisiatif membuka kaunter khusus bagi tujuan ini,” katanya.

Selain itu kata Norazle, pihaknya menempatkan seramai 15 kakitangan JPN di semua pusat mengundi termasuk di bilik gerakan di bawah kelolaan jabatan.

“Petugas di bilik gerakan JPN berperanan menjawab segala pertanyaan atau maklumat yang diperlukan oleh pengundi mengenai pilihan raya yang berkaitan dengan jabatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1607
Kongsi :
Previous post ‘Turunlah mengundi, tiada lagi tahun depan untuk pilih kerajaan negeri’ – Sulaiman
Next post BN Melaka janji pinda Melaka Land Rules 1966
Ubah saiz-+=