MyICE: Melaka sasar 100 persatuan rebut geran RM1 juta

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 14 April – Melaka menyasarkan lebih 100 persatuan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) merebut geran berjumlah RM1 juta yang ditawarkan menerusi Malaysian Incentive Community Empowerment (MyICE).

Menerusi MyICE setiap persatuan berdaftar sebelum Disember 2021 di bawah empat kategori iaitu kebajikan, keselamatan, hak asasi dan sosial layak memohon geran maksima RM10,000 bagi menjalankan program dan pembangunan kapasiti mengikut syarat ditetapkan.

EXCO Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri V P Shanmugam berkata, di Melaka sahaja terdapat 1,705 persatuan yang layak memohon geran berkenaan sebaik MyICE mula dibuka 1 Feb lalu.

Bagaimanapun, katanya, setakat 14 April, hanya 46 sahaja persatuan yang memohon MyICE dan daripada jumlah itu, tujuh ditolak, 18 ‘keep in view’ dan hanya 21 yang diluluskan.

“Ia menjadikan masih terdapat sekurang-kurangnya 61 kuota masih kosong dan boleh dimohon oleh mana-mana persatuan di negeri ini.

“Mungkin disebabkan sebelum ini ramai yang beranggapan geran hanya diberikan kepada persatuan penduduk sahaja, sedangkan kali ini geran itu boleh dimanfaatkan persatuan daripada empat kategori yang dinyatakan.

“Kalau boleh kita mahu lebih 100 persatuan memohon MyICE kerana jika melebihi peruntukan RM1 juta yang diberikan sekali pun, kita masih boleh mendapatkan kuota dari negeri-negeri lain yang mungkin tidak melepasi kuota ditetapkan.

“Jadi, saya mohon kepada persatuan yang layak untuk segera memohon menerusi www.eroses.gov.my yang mana permohonan itu perlulah dikemukakan oleh setiausaha pertubuhan dan bukannya secara individu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Geran MyICE di Pejabat JPPM Melaka, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JPPM Melaka Nurhafidah Ali.

Sementara itu, Nurhafidah berkata, setiap persatuan yang hendak memohon geran MyICE perlulah mengemukakan cadangan program yang bersesuaian dengan matlamat asal penubuhan persatuan itu.

Ia katanya, sangat penting memandangkan terdapat banyak permohonan sebelum ini ditolak atas sebab-sebab yang sama.

“Seperti contoh sebuah pertubuhan pencegahan jenayah, tapi mahu anjur kejohanan badminton yang mana ia sudah lari daripada matlamat asal pertubuhan.

“Begitu juga dengan pertubuhan dari kategori keturunan yang mana mereka memang layak memohon, tetapi ada di antaranya memohon untuk menganjurkan Hari Keluarga untuk sewa hotel dan sebagainya. Jadi, seperti ini memang kita tolak kerana ia tiada sifat-sifat kesukarelawanan.

“Selain itu, kita juga minta semua pertubuhan yang memohon agar tidak menggunakan akaun peribadi untuk mendapatkan geran berkenaan, sebaliknya perlu mendaftar di bawah akaun persatuan,” katanya.

Tambahnya, bagi persatuan yang berdepan kekangan dari sudut permohonan secara dalam talian, pihak JPPM Melaka sedia membantu untuk membantu memudahkan permohonan mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1714
Kongsi :
Previous post Najib dakwa saman 1MDB penyalahgunaan proses mahkamah
Next post DUN Pantai Kundor: Jom rebut lebih 100 pekerjaan di kilang TKR Manufacturing
Ubah saiz-+=