MYHaus sasar sehingga tiga buah rumah untuk dibina, dibaiki
SIK 28 Jun – Sebanyak dua hingga tiga buah rumah bakal dibina atau dibaik pulih bagi setiap negeri di bawah program MYHaus yang akan dilancarkan pada Ogos depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau berkata jumlah berkenaan adalah pada peringkat awal pelaksanaan program itu yang bertujuan membantu kumpulan sasar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa.
“Pada peringkat awal kita umumkan mengenai program ini ke seluruh negara, jadi ia mungkin tidak banyak dan kita akan pilih dalam dua atau tiga buah rumah bagi setiap negeri.
“Bentuk bantuan yang telah kita nyatakan adalah sama ada bina, baiki ataupun bantuan asas rumah yang lain yang kita nilaikan sebab kita mahu mereka (golongan sasar) ini dapat diami rumah yang selesa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri program Inspirasi Musaadah COVID-19 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Menurut Zulkifli, selain pembinaan rumah yang selesa, perkara berkaitan seperti kebersihan dan pendidikan agama juga diterapkan kepada golongan sasar, menerusi program MYHaus berkenaan.
Pada 17 Jun lepas, Zulkifli mengumumkan pelaksanaan program MYHaus yang dibiayai melalui dana wakaf bagi kos pembinaan rumah atau membaik pulih rumah kumpulan sasar terpilih.
– BERNAMA