MyFuturejobs : Lebih 4,000 jawatan kosong ditawarkan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Karnival Kerjaya MyFuturejobs Negeri Melaka menawarkan sebanyak 5,920 kekosongan jawatan kepada pencari kerja di negeri ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, kekosongan di pelbagai sektor itu turut membabitkan 1,514 jawatan menawarkan gaji atas RM2,000.

“Setakat jam 12 tengah hari ini, sudah 347 yang mendaftar dan daripada jumlah itu 268 telah menghadiri temu duga dan 89 pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Saya yakin dengan sambutan pada hari pertama ini kita dapat mencapai sasaran lebih 4,000 pencari kerja yang akan hadir ke karnival ini, sekali gus dapat mengisi kekosongan sebanyak 5,920 jawatan ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan pada hari pertama Karnival Kerjaya MyFuturejobs Negeri Melaka bersempena Program Smart Melaka International Conference and Expo 2023 (SMIX2023) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Abd Razak Omar.

Katanya, sebanyak 2,169 kekosongan jawatan yang ditawarkan adalah membabitkan majikan beroperasi di Melaka manakala 3,751 lagi dari luar negeri ini.

“Seramai 35 majikan dalam pelbagai sektor tawarkan jawatan kosong ini. Paling banyak kekosongan adalah bahagian kesihatan manusia dan aktiviti kerja bersosial daripada sektor kesihatan.

“Justeru, saya mengalu-alukan kepada semua pencari kerja yang berminat mencari kerja atau mencuba kerja baharu boleh datang ke MITC bermula hari ini sehingga 14 Oktober (Sabtu) ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1019
Kongsi :
Previous post MBMB sedia 119 produk pintar untuk masyarakat
Next post Melaka pastikan capaian 5G menyeluruh dalam tempoh 7 tahun
Ubah saiz-+=