Muzium Samudera dibuka semula dengan wajah baharu

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 8 Oktober – Muzium Samudera atau turut dikenali sebagai Flor de La Mar kini dibuka semula kepada orang ramai.

Muzium itu beroperasi semula bermula 3 Oktober lalu selepas selesai kerja naik taraf oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Zaidi Attan berkata, sejumlah RM145,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja naik taraf dan baik pulih Muzium Samudera Fasa I.

Katanya, antara pembaharuan dilaksanakan adalah mengecat semula muzium dan menaik taraf sistem saluran air hujan.

“Kerja membaik pulih ini untuk mencantikkan lagi muzium, selain memastikan ia memberi keselesaan kepada pengunjung.

IMG_20231007_223502_102
ANTARA pengunjung di Muzium Samudera selepas ia dibuka semula. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Kita jangkakan dengan penambahbaikan ini lebih ramai pengunjung yang akan datang sekali gus menjana pendapatan lebih dua kali ganda pada setiap bulan.

“Harga tiket masih sama dan waktu pengoperasian adalah bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaidi yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan selaras dengan ketibaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tidak lama lagi.

“Ini juga salah satu persediaan Kerajaan Negeri untuk membuat persiapan TMM2024, kita akan pastikan semua produk pelancongan Melaka sentiasa diselenggara,” katanya.

IMG_20231007_223340_227
PENGUNJUNG mengabadikan kenangan di atas Muzium Samudera berlatarbelakangkan muara Sungai Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Untuk rekod, Muzium Samudera merupakan replika kapal Flor de La Mar yang terletak di Jalan Quayside berhampiran muara Sungai Melaka.

Replika kapal Portugis itu dibina pada awal tahun 1990 dan berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar.

Kapal ini menggunakan layar berbentuk segi tiga atau layar segi empat, dan menggunakan kayu jenis cengal dan resak.

Di dalam perut kapal ini terdapat khazanah bangsa yang tidak ternilai yang diambil oleh penjajah selepas berjaya menakluki Melaka pada tahun 1511.

IMG_20231007_223234_252
Model kapal dari pelbagai negara yang turut dipamerkan di Muzium Samudera, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengikut catatan sejarah, kapal ini telah tenggelam pada 26 Januari 1512 di Selat Melaka ketika dalam pelayaran ke Eropah.

Kapal ini berfungsi sebagai kapal dagang dan kapal perang, saiz dan kemampuan muatannya adalah berbeza mengikut keperluan semasa abad ke-16 dan 17.

Selain replika yang menarik, muzium ini turut menempatkan sejarah maritim dan kegemilangan negeri Melaka seperti lukisan, peta lama, model kapal dan artifak berkaitan maritim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4190
Kongsi :
Previous post SDSI akan diberikan suntikan baharu, promosi produk usahawan
Next post Ahli farmasi mula dekati komuniti
Ubah saiz-+=