Muzium Perzim tarik perhatian pelancong domestik dan luar negara
BANDA HILIR 4 Ogos – Sempena program Melaka Bila Larut Malam Edisi Ogos 2024 semalam, muzium di bawah seliaan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) terus mendapat perhatian pelancong domestik dan luar negara.
Hasil tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sekitar kawasan muzium di bawah seliaan Perzim mendapati dapat sambutan dari pelancong domestik dan luar negara amat teruja dengan nilai sejarah yang dipamerkan.
Bagi pelancong dari negara India, Ateeba Mohammed Jawaid, 24, dia amat teruja dengan nilai sejarah Negeri Melaka dan Malaysia amnya yang disifatkannya sebagai kaya dengan unsur budaya serta perpaduan.
“Sejujurnya saya amat meminati dengan sejarah, dan apabila saya berpeluang melancong ke Malaysia, saya terus ke Melaka bagi menghayati nilai sejarah yang dipamerkan oleh pihak muzium ini (Perzim).
“Secara seluruhnya, saya kagumi hasil pameran muzium di Melaka yang saya sifatkan sebagai kaya dengan nilai sejarah, budaya dan perpaduan,” katanya kepada MHI semalam.
Bagi pelancong dari Negeri Sembilan, Ammar Azmi, 33, dia bersama 10 ahli keluarganya mengambil kesempatan melancong ke Melaka dengan mengunjungi Muzium Samudera.
Ammar menganggap, program Melaka Bila Larut Malam sememangnya dinantikan oleh dia sekeluarga, memandangkan tawaran RM10 selain percuma satu bagi pembelian empat tiket, adalah berbaloi.
“Saya dapat tahu mengenai pakej program ini melalui hantaran di laman media sosial, dan pakej ditawarkan adalah sangat berpatutan walaupun ianya dianjurkan sebulan sekali.
“Bagi saya, ianya sangat membantu saya untuk membawa seisi keluarga bercuti ke Melaka dan sangat berbaloi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.