Muzium Penjara instrumen didik masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 21 Ogos – Selain menjadi produk pelancongan utama di negeri ini, Muzium Penjara Malaysia, Melaka juga berperanan sebagai instrumen penting dalam mendidik masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad berkata, pelbagai aktiviti diatur pihak Muzium Penjara Malaysia dilihat mampu memberikan kesan dan kesedaran kepada masyarakat.

Katanya, keberkesanan dan pengisian program dilaksanakan secara tidak langsung menyuntik kesedaran dalam kalangan pelawat seterusnya membentuk masyarakat sejahtera.

“Selain boleh dibanggakan sebagai produk pelancongan daripada sektor awam, peranan Muzium Penjara juga adalah sebagai instrumen penting dalam mendidik masyarakat membabitkan pencegahan jenayah.

“Saya difahamkan antara aktiviti dilaksanakan adalah simulasi dalam sel, sebat rotan, persembahan teater banduan akhir serta taklimat di bilik gantung.

“Malah Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan sendiri telah meletakkan keutamaan peranan Muzium Penjara dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Memoir Tuan Husain Beladar, di Muzium Penjara Malaysia, Melaka, Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Ajidin Salleh; Pengarah Penjara Negeri Melaka, Timbalan Komisioner Penjara Rosman Norman@ Normin dan Tokoh Jabatan Penjara Malaysia, Husain Beladar.

Menurut Azhar, inisiatif diambil Jabatan Penjara Malaysia dengan mempamerkan secara ekslusif penceritaan berkaitan pencapaian dan jasa pesara pegawai kanan jabatan berkenaan iaitu Tuan Husain Beladar akan menarik lebih ramai pelawat ke Muzium Penjara Malaysia, Melaka.

“Bukan mudah bagi seseorang individu untuk mendapat pengiktirafan setinggi ini dan saya dimaklumkan susunan perkhidmatan beliau dapat ditonton dengan terperinci di Pameran Memoir Tuan Husain Beladar.

“Saya juga percaya, pameran ini akan dapat menarik lebih ramai pelawat ke Muzium Penjara Malaysia, Melaka seterusnya meningkatkan lagi bilangan pengunjung yang berkunjung ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post Mayat salah seorang mangsa tragedi bot karam Sungai Kayan ditemukan – Bomba
Next post Ab Rauf kongsi kejayaan tadbir Melaka di pentas PAU 2024
Ubah saiz-+=