
MUZIUM MELAKA TARIKAN PENGUNJUNG AIDILFITRI INI
BANDA HILIR 6 April – Cuti perayaan Aidilfitri dan cuti persekolahan membantu meningkatkan jumlah pelawat ke muzium-muzium di Melaka.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERIM) Erne Hamsah berkata, perkembangan itu menunjukkan minat yang tinggi terhadap sektor pelancongan berasaskan sejarah dan warisan negeri ini.
“Perkembangan semasa menunjukkan bahawa sambutan terhadap produk pelancongan muzium masih tinggi, terutama dalam kalangan pelancong domestik yang memilih Melaka sebagai destinasi utama untuk sambutan Aidilfitri dan cuti sekolah.
“Antara muzium mencatatkan jumlah kunjungan tinggi seperti Muzium Sejarah dan Etnografi, Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Samudera serta tidak ketinggalan Muzium Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong.
“Kesemua lokasi ini menawarkan pengalaman pembelajaran interaktif berkaitan sejarah, budaya dan tamadun Melaka yang menjadi tarikan utama kepada keluarga, pelajar serta pengunjung luar,” katanya.
Mengulas lanjut Erna berkata PERZIM menyasarkan sekurang-kurangnya 7,000 pelawat akan singgah ke muzium sepanjang musim cuti perayaan dan persekolahan ini.
“Sasaran itu akan dapat dicapai memandangkan pelbagai inisiatif telah dijalankan termasuk promosi secara dalam talian, kerjasama dengan agensi pelancongan serta pembukaan waktu operasi yang fleksibel sepanjang musim perayaan.
“Dalam masa sama, Perzim turut komited memastikan pengalaman pengunjung lebih selesa dan menarik dengan penambahbaikan fasiliti serta penceritaan yang lebih segar di setiap muzium,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.