Sorting by

×

MUZIUM BOMBA AKAN DIBINA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

REMBIA 5 Disember – Kerajaan Melaka berhasrat untuk membina Muzium Bomba sebagai rujukan buat masyarakat terutamanya generasi muda mengenai peranan perkhidmatan kebombaan kepada negara amnya.

Bagi merealisasikan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mencadangkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka supaya menubuhkan Unit Warisan Bomba, seterusnya bekerjasama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, beliau akan memohon peruntukan bagi penubuhan Muzium Bomba daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk membina Muzium Bomba di Melaka, saya amat berharap pengarah JBPM negeri mewujudkan Unit Warisan Bomba dan bekerjasama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka bagi menjayakan usaha ini.

“Saya akan berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi memohon bajet, berhubung hasrat Melaka untuk bina Muzium Bomba,” katanya ketika berucap pada Program Santai Bersama Ketua Menteri Melaka di Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, merangkap penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia; Datuk Fairul Nizam Roslan.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri; Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Mohd Pisar Aziz.

Jelas Ketua Menteri, dengan adanya Muzium Bomba, ia secara tidak langsung akan menarik minat orang ramai khususnya golongan belia untuk memilih bidang kebombaan sebagai kerjaya mereka.

“Secara tidak langsung muzium ini akan mempromosikan kerjaya sebagai pegawai bomba yang kita ketahui seorang yang berdisiplin dan berpendidikan teknikal. Selain itu kita dapat kongsi bersama masyarakat mengenai kepakaran lain bomba, mungkin ramai yang tidak tahu jabatan ini juga mempunyai unit forensik mereka sendiri.

“Saya harap kerjaya bomba ini akan membuka minda generasi muda untuk datang bersama-sama berkhidmat dengan suci hati untuk menyantuni masyarakat,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

781
Kongsi :
Previous post 60 PEMPENGARUH ASIA PROMOSI PELANCONGAN MELAKA
Next post HARI INOVASI MELAKA 2025 SASAR 500 PENYERTAAN
Ubah saiz-+=