Muslim Care kumpul buku untuk banduan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 10 Sept – Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) sedang menggerakkan program ‘Bantuan untuk Banduan’ iaitu sumbangan bahan bacaan golongan terbabit memenuhi masa terluang berikutan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, bahan bacaan yang dikumpul itu akan diedarkan ke penjara-penjara bagi membolehkan banduan memanfaatkannya untuk mengisi masa terluang dengan membaca.

“Berikutan PPN, banduan tidak berpeluang untuk mengikuti pelbagai latihan kemahiran termasuklah kelas agama yang sebelum ini diwajibkan.

“Disebabkan ini mereka terpaksa menghabiskan masa di bilik tahanan masing-masing sehingga menyebabkan mereka menjadi bosan dan tertekan.

“Pihak penjara cuma mampu untuk menggunakan pembesar suara bagi mendengarkan siaran radio dan ceramah agama sebagai bentuk program pengisian.

“Justeru kita (Muslim Care) merancang inisiatif ini dan mengharapkan sumbangan bahan bacaan daripada orang ramai untuk dibaca oleh banduan,” katanya.

Jelasnya, buat pemulaan Muslim Care Malaysia menyasarkan penjara di sekitar Pahang serta Terengganu dan sekiranya sambutan menggalakkan dan jumlah bahan bacaan yang diterima banyak, ia akan diagihkan ke seluruh negara.

“Terdapat 27 penjara di seluruh Malaysia iaitu 18 di Semenanjung Malaysia dan sembilan di Sabah dan Sarawak.

“Kita sasarkan untuk kumpul 2,700 buku…bermakna setiap penjara dapat 100 buku, dan setakat ini kita sudah mengumpul lebih 1,000 buku sumbangan orang ramai,” ujarnya.

Zulkifli berkata, pihaknya menerima sebarang jenis bahan bacaan berilmiah, baru atau yang terpakai.

“Jenis bahan bacaan yang digalakkan adalah buku agama, buku motivasi, majalah atau novel yang sesuai dan al-Quran yang mempunyai terjemahan, seeloknya.

“Bahan bacaan ini boleh dihantar atau diposkan ke pusat pengumpulan, sekiranya kuantiti bahan bacaan yang hendak disumbangkan banyak, kita mungkin boleh uruskan untuk pengambilan di lokasi,” katanya.

Untuk rekod, program pengumpulan bahan bacaan ini bermula 6 September hingga 17 September ini dan penyerahan ke penjara terpilih adalah pada 18 September ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1318
Kongsi :
Previous post Serah sendiri ganja di SJR
Next post Pendekatan baharu tangani isu harga ayam
Ubah saiz-+=