Musim ribut barat: Nelayan bersedia ‘cuti panjang’
TANJUNG BIDARA 28 Okt. – Musim ribut barat yang lazimnya bertiup dari November hingga hujung Disember bakal menjelma kembali dan ia mendorong nelayan bersiap-sedia menghadapi ‘cuti panjang’.
Setiap kali ribut barat datang kembali, setiap kali itu jugalah nelayan tidak dapat turun ke laut mencari rezeki.
Selepas menghadapi musim air pasang besar minggu lalu, kira-kira 300 nelayan di perairan Melaka Barat bersiap-sedia menghadapi fenomena alam itu.
Jika minggu lalu mereka terpaksa mengalihkan perahu dan peralatan menangkap ikan agak jauh dari gigi pantai, hari ini mereka sekali lagi bergotong-royong mengalihkan peralatan seperti jaring dan rawai jauh dari gigi pantai.
Osman Ibrahim, 65, berkata musim ribut barat lazimnya bertiup dari November hingga hujung Disember setiap tahun dan ia lebih kuat berbanding angin ribut tenggara, selatan atau timur.
“Ombak ribut barat lebih tinggi dan kuat berbanding ombak ribut yang lain dan kami harus bersiap sedia menghadapinya bagi memastikan peralatan menangkap ikan tidak dihanyutkan ombak besar.
“Sekarang pun ribut barat sudah ada, tetapi ia hanya satu atau dua hari tetapi dalam keadaan tidak berapa besar berbanding ribut barat sebenar antara November hingga Disember,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah dekat sini hari ini.
Beliau berkata, ribut barat menyebabkan nelayan tidak mampu turun ke laut bergantung kepada tempoh angin kencang itu bertiup dan lazimnya antara tiga hingga tujuh hari.
Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata nelayan sudah lali dengan kehadiran ribut barat setiap hujung tahun dan lazimnya tiada apa yang mampu dilakukan nelayan selain memanfaatkan waktu tidak dapat turun ke laut dengan melakukan pelbagai
kerja penyelenggaraan dan pembaikan.
“Pada musim ribut barat kami membasuh perahu gentian kaca dan menampal bahagian yang sudah haus atau bocor, selain menjalankan kerja pembaikan enjin motor sangkut.
“Jika kerosakan enjin itu serius, kami terpaksa menyerahkannya kepada mekanik sama ada di sini atau Bandar Raya Melaka,” katanya.
Beliau menjelaskan, setiap kali ribut barat reda, lazimnya jumlah tangkapan ikan meningkat berbanding hari biasa kerana ikan yang sebelum itu hanya ‘bermain’ di tengah laut akan ‘bermain’ di pinggir pantai.
Mohd Amin Fuad Razali, 25, berkata kehadiran musim ribut barat bermakna nelayan ‘diberikan cuti rehat’ berikutan tidak berani menempuh ombak besar dan angin kencang.
“Saya pernah dipukul ribut barat tahun lalu tetapi saya gagahkan juga menarik jaring dalam keadaan terpaksa melawan angin kencang tetapi itu semuanya adalah
asam garam kehidupan nelayan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berdoa agar ribut barat tahun ini tidak mengambil tempoh yang lama bagi membolehkan beliau dan nelayan lain mencari rezeki.