Sorting by

×

Musim geragau limpahan rezeki nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Feb. – Musim udang geragau yang bermula sejak awal pagi semalam membawa rezeki tambahan buat golongan nelayan di pantai perairan Melaka Barat.

Difahamkan dengan menggunakan alat khas iaitu sungkur, nelayan terbabit mampu memperoleh ratusan kilogram (kg) udang geragau yang ditangkap di sepanjang pantai dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, di sini.

Melaka Hari Ini difahamkan, udang geragau mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peraih hasil laut kerana ia bahan utama digunakan dalam pembuatan belacan dan cencaluk.

Nelayan, Syafiq Zainal Abidin, 30, berkata dia menyungkur awal pagi tadi selepas menikmati hasil yang memuaskan ketika menyungkur awal pagi semalam.

Syafiq menimbang geragau di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

“Jam 4 pagi tadi saya turun menyungkur bersama-sama orang lain dan alhamdulillah, apabila naik ke darat pada jam 6 pagi untuk menunaikan solat Subuh, saya memperoleh 80 kg geragau.

“Awal pagi semalam saya dapat 100 kg geragau yang sudah habis dijual dalam tempoh hanya sejam mulai 9 pagi,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan menjual geragau RM6 sekilogram, haiwan marin yang hadir pada musim tertentu itu habis dijual ibarat pisang goreng panas.

Sulaiman Abdul Karim, 56, berkata dia tidak bertukang hari ini kerana sibuk menolak sungkur sejurus selepas solat Subuh tadi hingga jam 10 pagi tadi.

“Alhamdulillah, saya dapat kira-kira 60 kg geragau berbanding kira-kira 120 kg semalam.

“Lazimnya geragau naik pada musim angin barat dari September hingga Disember tetapi geragau hari ini adalah geragau musim angin betara dari Januari hingga April,” katanya.

Katanya, geragau pada 1970-an dijual pada harga antara 30 sen hingga 70 sen sekilogram sebelum naik berperingkat-peringkat pada 1980-an hingga sekarang mencecah antara RM6 hingga RM10 sekilogram.

“Walaupun harganya semakin meningkat, ia tetap mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna, terutama pengusaha belacan dan cencaluk,” katanya.

Views:

1179
Kongsi :
Previous post Anak sulung jadi ketua keluarga selepas bapa hilang upaya bekerja
Next post Wanita ditahan pandu lawan arus, langgar tiga kenderaan lain
Ubah saiz-+=