Sorting by

×

Musang King segar bakal dieksport ke China

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

MACHAP JAYA  7 Oktober – Malaysia dijangka  mengeksport buah durian segar bermula tahun hadapan bagi memenuhi permintaan dari negara luar terutamanya China.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Nor Sam Alwi berkata, pada ketika ini negara hanya mengeksport durian sejuk beku dan pes dari jenis Musang King ke lima negara luar antaranya China, Kanada dan Korea.

“Kita amat berharap supaya protokol durian segar ini dapat diluluskan dengan segera yang mana ada pelbagai bentuk durian yang boleh dieksport sekali gus dapat menambah lagi pendapatan petani serta menjana ekonomi negara.

“Tahun hadapan adalah tahun ke-50 hubungan diplomatik China dan Malaysia jadi kita amat berharap akan dapat berita baik berkenaan kelulusan eksport buah durian segar ini.

“Justeru itu kita berharap pihak berkuasa Kastam Republik China (GACC) akan berpuas hati dengan setiap keperluan seterusnya meluluskan kelulusan protokol  bagi pengekportan durian segar ke China,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi delegasi GACC meninjau ladang tanaman Musang King  bagi tujuan eksport di Machap, hari ini.

Menurutnya, apabila pengeksportan durian segar itu dilaksanakan, aktiviti sejuk beku tidak perlu dijalankan.

“Untuk rekod ketika ini kita mengeksport kira-kira 15 peratus durian sejuk beku ke luar negara tetapi ia juga bergantung kepada cuaca. Selain untuk pengeksportan, kita fokuskan kepada Musang King.

“China ini adalah pasaran besar dan walaupun kita sudah eksport durian kita ke sana tetapi ia masih belum dapat memenuhi permintaan kerana rakyat mereka amat menggemari durian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1416
Kongsi :
Previous post Kadar pengangguran menurun 3.5 peratus
Next post The Bountiful Harvest of Baiyue pukau penonton
Ubah saiz-+=