Sorting by

×

MUSA akur dipotong tiga mata

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) enggan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya akur dengan hukuman pemotongan tiga mata serta-merta seperti diputuskan badan bebas, First Instance Body (FIB), semalam.

Setiausaha Agungnya, Ir Ahmad Rosli Hamzah berkata, pihaknya sedaya upaya menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain dan pegawai pada tarikh akhir pertama pada 31 Januari lalu.

Namun, ujarnya, berikutan situasi semasa COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0), penjadualan segala pembayaran bagi fasa kedua sedikit tergendala.

Justeru, pihaknya mengambil tanggungjawab di atas segala yang berlaku dan akan terus menggiatkan usaha menjelaskan segala baki tunggakan yang disebabkan oleh pengurusan terdahulu.

“Apapun, kami tidak berdepan masalah menyelesaikan gaji Januari dan Februari musim ini bagi memastikan pemain tidak menghadapi masalah.

“Justeru, kami mengharapkan usaha memastikan ‘hutang lama’ berkenaan akan berjaya diselesaikan dan tidak mengganggu mental pemain musim ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) dipotong tiga mata oleh FIB susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat FIB Pelesenan Malaysian Football League (MFL) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli jawatankuasa lain.

Hukuman tersebut menyaksikan skuad Hang Tuah yang sebelum ini menduduki tangga ke-8 Liga Super turun ke tangga ke-10 dengan berkongsi satu mata bersama Sabah FC dan UiTM FC.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post ‘Tiada angin, tiada ribut MUFC dipotong 3 mata’
Next post 391 perajurit muda TUDM tamat latihan
Ubah saiz-+=