Sorting by

×

Murid SJKC Bukit Beruang positif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 11 April – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengesahkan seorang murid Tahun Tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang positif COVID-19 hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kes berkenaan membabitkan keluarga murid berkenaan yang dijangkiti dalam kalangan komuniti.

Katanya, susulan itu JKNM sedang mengenal pasti kontak rapat murid berkenaan dan tindakan lanjut dilaksanakan termasuk menjalankan proses sanitasi ke atas sekolah terbabit.

“Memang kes berlaku di SJKC Bukit Beruang yang melibatkan satu keluarga iaitu ibu bapa dan juga seorang murid.

“Tindakan JKNM telah pun dilaksanakan dan masih lagi siasatan untuk mengesan kontakrapat serta sanitasi sekolah akan dilaksanakan pada hari ini,” katanya pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri.

RAHMAD bersama Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ismail Ali (kiri) pada pelancaran Majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri, di Dewan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Ketika ditanya sama ada sekolah berkenaan akan ditutup, Rahmad berkata keputusan itu bergantung kepada penilaian Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dalam mengesan pergerakan murid berkenaan dalam sekolah terbabit.

“Jika kes itu hanya melibatkan (pergerakan) satu kelas, maka kelas itu sahaja ditutup dan (murid kelas itu) dikuarantnkan.

“Kebanyakan pergerakan (murid) dalam kelas itu dan kalau kita  dapat mengawal keadaan macam itu, kita tidak perlu membuat saringan ke seluruh pelajar-pelajar lain dalam sekolah itu, cuku sekadar dalam kelas itu ataupun mana tempat yang dia pergi. Itu penilaian akan dibuat oleh PKD,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram dan SK Pengkalan Balak ditutup sementara minggu lalu selepas murid dan guru daripada dua sekolah berkenaan positif COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1282
Kongsi :
Previous post Jangan naikkan harga barang sesuka hati – Sulaiman
Next post Melaka terima transaksi jualan rumah RM1.3 bilion
Ubah saiz-+=