MURID DARI MELAKA PECAH REKOD KEBANGSAAN BALINGAN KAPAL TERBANG KERTAS
AYER KEROH 23 Oktober – Murid sebuah sekolah rendah di negeri ini, memecah rekod kebangsaan apabila kapal terbang kertas dihasilkan berjaya meluncur sejauh 36.76 meter, sekali gus memadamkan catatan lama iaitu 33.17 meter.
Rekod itu dicatatkan pada Kejohanan Science Paper Plane Peringkat Negeri Melaka 2024 bagi Kategori Sekolah Rendah yang berlangsung di Dewan Taming Sari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Alor Gajah, semalam.
Pengarah Projek Minggu Sains Negara, merangkap Penyelaras Inovasi Paten dan Pengkomersilan UiTM Cawangan Melaka, Aini Qamariah Mohd Yusof berkata bagi kejohanan itu pihaknya telah menerima sebanyak 1,700 penyertaan.
“Penyertaan menggalakkan ini, sekali gus berjaya memecahkan rekod Malaysia Book of Records (MBOR). Sebenarnya pertandingan ini adalah bersempena Minggu Sains Negara (MSN) dijadualkan pada 28 dan 29 Oktober nanti di Dewan Taming Sari UiTM Cawangan Melaka Alor Gajah.
“Pertandingan ditutup hari ini dan dibuka hanya untuk orang Melaka. Ini adalah medan bagi orang ramai untuk menterjemahkan kreativiti mereka dengan menghasilkan kapal terbang kertas yang mampu meluncur jauh dan berada lama di udara,” katanya ketika bersiaran dalam Podcast Mana Lagi? Melaka Ler! di Studio Melaka TV, hari ini.
Aini Qamariah berkata, venue pertandingan juga mengikut piawaian ditetapkan dan dilangsungkan dalam dewan yang tertutup, bagi memastikan setiap balingan tidak dipengaruhi faktor alam seperti tiupan angin.
“Pemilihan lokasi ini juga bertujuan untuk memastikan pertandingan berlangsung dengan adil buat semua peserta,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.