Sorting by

×

Mulianya hati ‘Abang Aji Runner MT’…

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KUALA LINGGI 26 Sept – Peniaga katering, Mohd Hafiz Azwan Mohd Azlan, 35, tidak pernah marah jika ada pelanggan tidak mampu membayar makanan dan minuman yang dijualnya melalui konsep ‘bayar semasa tiba’ (COD).

Sebaliknya, dia bersyukur dapat bersedekah kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan memerlukan makanan selepas tidak menjamah sebarang makanan satu atau dua hari.

Meskipun keletihan selepas menunggang motosikal dari kediamannya di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah ke pelbagai destinasi di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah semata-mata untuk menyerahkan makanan dan minuman yang dipesan pelanggan, dia tidak pernah merungut jika ada pelanggan gagal membayar.

 

“Saya tidak sampai hati mengambil semula makanan yang sudah diserahkan kepada pelanggan apabila mereka menyatakan tiada wang untuk membayarnya.

“Saya katakan kepada mereka, makanlah, Allah mahu saya bersedekah dan saya menghalalkannya menjadi darah daging awak,” katanya selepas menghantar makanan kepada keluarga menjalani kuarantin kendiri di kediaman di Taman Gamelan, Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Mohd Hafiz yang dikenali dalam kalangan pelanggan COD di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah sebagai ‘Abang Aji Runner MT’ tidak pernah menyesal, sebaliknya berasa bertuah dapat menghulurkan bantuan kepada insan amat memerlukan makanan.

MOHD Azwan Mohd Azlan menghantar makanan kepada pelanggan yang menjalani kuarantin kendiri di Taman Gamelan, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.

Katanya, akibat terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Jun lalu, seorang ibu tujuh anak kecil memesan tujuh bungkus nasi tetapi selepas diserahkan makanan itu, dia menyatakan tidak memiliki wang.

“Sambil mengalirkan air mata, wanita itu menyatakan suaminya sudah lama meninggalkannya dan dia serta tujuh anak masih kecil sudah dua hari tidak menjamah nasi, sebaliknya mereka hanya memakan nanas yang ditanam di belakang rumah,” katanya.

Mohd Hafiz yang turut melakukan tugas sampingan sebagai mutawif, iaitu mengendalikan urusan jemaah melakukan ibadah haji dan umrah sebelum pandemik COVID-19, tidak pernah kecewa dengan perniagaan
yang menuntut kesabaran tinggi itu.

“Paling banyak pelanggan tidak bayar makanan dan minuman berlaku ketika PKP 1.0 dari 18 Mac hingga 3 Mei 2020 kerana ketika itu bantuan makanan daripada pelbagai pihak masih belum ada dan kalau ada pun, masih belum teratur seperti sekarang.

“Keadaan itu berlarutan ketika PKP 2.0 dari 13 Januari hingga 4 Mac lalu tetapi pada PKP 3.0 mulai Jun lalu, keadaan sudah tidak seteruk PKP 1.0 dan PKP 2.0,” katanya.

Paling menyentuh sanubarinya ialah apabila melihat anak kecil berlari mendapatkan motosikalnya sejurus dia tiba di halaman rumah kerana sudah terpahat dalam kepala mereka makanan yang bakaldijamah, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

868
Kongsi :
Previous post Tolong pulangkan katil boleh laras
Next post Aura juara ‘Jang’ bikin MUFC hati-hati
Ubah saiz-+=