Muhyiddin terima suntikan vaksin-COVID-19, program vaksinasi di Malaysia bermula

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

PUTRAJAYA 24 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Perdana menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 di sini, yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Muhyiddin tiba di pusat kesihatan itu pada 2.25 petang dan melalui lima stesen di PPV untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

 

MUHYIDDIN menerima suntikan vaksin COVID-19 daripada Lina. Foto kredit KKM.

 

Stesen pertama untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin COVID-19, stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen keempat bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 dan stesen kelima ialah stesen pemerhatian.

Turut menerima suntikan pertama dan merupakan antara yang terawal menerima vaksinasi dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Empat petugas KKM itu ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis.

Dr Noor Hisham antara individu terawal menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini. Foto kredit- KKM.

Dr Tan, 30, merupakan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya manakala Sheilla Mellissa, 31, jururawat di klinik kesihatan tersebut.

Khairul Asraf, 44, adalah Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Clement, 36, pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya.

Selepas dipantau sekiranya terdapat kesan sampingan suntikan yang diterimanya daripada Ketua Jururawat Kesihatan, Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11, Lina Ibrahim, di stesen pemerhatian, Muhyiddin kemudian mengambil janji temu bagi pengambilan dos kedua.

Vaksin Pfizer-BioNTech perlu disuntik dua kali dengan suntikan kedua pada hari ke-21 selepas suntikan pertama.

Turut berada di PPV itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Perdana menteri kemudiannya melancarkan pendaftaran program vaksinasi menerusi MySejahtera yang akan memudah cara proses pendaftaran bagi menerima vaksin.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ itu dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Pendekatan kerajaan melalui program imunisasi itu adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Sejak kes pertama COVID-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, pandemik yang melanda telah menjangkiti seramai 288,229 orang sehingga 23 Feb, selain lebih 1,076 kematian dilaporkan.

Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos pada Ahad melalui pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

782
Kongsi :
Previous post Cubaan curi 3 tan sawit tidak kesampaian
Next post Resolusi fahaman ‘Ibu Yati’ disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja
Ubah saiz-+=