Muhyiddin jamin PICK tidak terganggu akibat kemelut politik
PUTRAJAYA 4 Ogos – Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara ketika ini tidak akan terganggu disebalik kemelut politik ketika ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan jemaah menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.
Beliau berkata, meskipun ada segelintir pihak tidak berpuas hati kedudukannya sebagai Perdana Menteri, namun beliau dan pentadbiran kerajaan akan memastikan rakyat diberi keutamaan dalam mengharungi pandemik COVID-19.
“Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
“Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.
Lantaran itu, katanya beliau mengingatkan semua penjawat awam agar terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kecekalan.
“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.