Muhyiddin harap kerajaan baharu utamakan vaksinasi rakyat
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan harapan agar kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.
Katanya, tempoh dua bulan ke hadapan amat penting kerana negara dijangka mencapai imuniti kelompok pada Oktober.
Beliau juga berharap segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak terbantut meskipun di bawah pentadbiran Perdana Menteri dan kabinet menteri yang baharu.
“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.
“Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu.
“Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas dan pengumuman peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri, hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun, meminta rakyat agar tidak bimbang mengenai perjalanan vaksinasi negara kerana beliau percaya bekalan vaksin yang ada masih mencukupi.
Katanya, kabinet di bawah pentadbiran beliau telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion ringgit.
“Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian.
“I hope the new government which takes over the administration of this country will take a good care of all of you because it is the only thing that I care about. I care for you always,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.