Sorting by

×

Muhammad Hakimi mahu kejar impian sebagai jurutera elektronik

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

DURIAN TUNGGAL 3 Oktober – Azam mahu mengubah nasib keluarga remaja ini sanggup bekerja di kedai serbaneka 24 jam sejak tiga bulan lalu semata-mata mahu mengumpul wang untuk menampung kos pendaftaran ke universiti.

Namun kesungguhan Muhammad Hakimi Yunus, 19, mendapat perhatian Kementerian Pengajian Tinggi dan dia berasa amat bersyukur kerana dipilih untuk mengikuti Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).

Dia yang diberi peluang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-citanya.

“Gaji pertama saya simpan untuk bayar yuran pendaftaran, syukur sangat terpilih mengikuti program ini dan ditawarkan biasiswa jadi tidak lagi membebankan keluarga, malah bolehlah saya fokus kepada pelajaran.

“Berdebar juga bila terima panggilan temuduga daripada USIM, ketika itu ada 13 calon lain bersama saya, tapi alhamdulillah memang rezeki saya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Seri Bayan, Gangsa, di sini, semalam.

Terdahulu Muhammad Hakimi menerima surat tawaran itu yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya dia akan membuat penaftaran secara dalam talian 7 Oktober ini dan melaporkan diri ke kampus USIM lima hari kemudian.

“Saya harap kerajaan luaskan lagi program seperti ini, ramai remaja diluar sana terpaksa pendamkan hasrat untuk ke universiti kerana mahu bantu keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3415
Kongsi :
Previous post 20,000 berselawat
Next post Pekerja kilang tidak sedarkan diri dipercayai terhidu gas ammonia
Ubah saiz-+=