Sorting by

×

MUFC tidak minta Safiq Rahim

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) tidak memohon secara spesifik nama pemain tertentu dari Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC) untuk menyertai skuad Hang Tuah pada jendela perpindahan kedua yang berlangsung kini.

Ia sekali gus menepis dakwaan nama bekas pemain kebangsaan Safiq Rahim menjadi pilihan utama pasukan itu seperti yang dilaporkan sebuah portal sukan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri sebaliknya berkata, permohonan pinjaman pemain kepada JDT FC hanyalah untuk mendapatkan seorang pemain tengah sahaja.

Justeru, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kelab dari negeri jiran itu untuk memilih mana-mana pemain tengah yang akan dipinjamkan menyertai MUFC.

“Buat masa ini, itu semua (perpindahan Safiq ke MUFC) masih khabar angin. Saya tidak boleh memberi pengesahan atau menafikan.

“Apa yang pasti, memang kita ada membuat permohonan mendapatkan pemain tengah pinjaman daripada JDT FC.

“Cuma segalanya terpulang kepada pihak JDT FC untuk meminjamkan mana-mana pemain tengah mereka. Insya-Allah, dalam minggu ini kita akan mendapat jawapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas nasib Zainal Abidin Hassan sama ada kekal mengemudi pasukan atau tidak beliau berkata, semua itu akan diputuskan melalui mesyuarat yang akan dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) hari ini.

Mesyuarat terbabit juga, ujarnya akan memutuskan status dua pemain import baharu serta hala tuju pasukan bagi menghabiskan saingan Liga Super musim ini.

“Insya-Allah apabila semuanya selesai, kita akan membuat satu sidang media dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

788
Kongsi :
Previous post Lebih 500 penduduk dipindahkan ke tujuh PPS akibat banjir kilat
Next post Tabung Bantuan Kemanusiaan Sungai Rambai kumpul RM5,000
Ubah saiz-+=