Sorting by

×

MUFC tewas di depan 4,000 penyokong sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) mencatat kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi Liga Super musim 2021 apabila tewas 1-2 kepada Penang FC di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Walaupun mendapat semangat di hadapan kira-kira 4,000 penyokong sendiri, skuad Hang Tuah gagal mempamerkan aksi yang diharapkan apabila dikecewakan bekas penyerang import Melaka United musim 2019, Anselmo Arruda da Silva atau dikenali sebagai Casagrande yang menjaringkan gol pada setiap babak.

Tuan rumah bagaimanapun bermula garang sejurus wisel permulaan apabila berjaya memperoleh dua peluang keemasan.

Gol pembukaan hampir dijelmakan Manuel Gelito Ott pada minit ke-3, namun malangnya bola muntah yang diterimanya dalam situasi kucar-kacir dalam gawang Penang FC sekadar singgah di palang.

Dua minit berselang, satu lagi peluang terbaik hadir apabila S Kumaahran bijak melorongkan bola ke dalam kotak penalti mencari Alex dos Santos Goncalvez, namun sekali lagi peluang itu disia-siakan apabila penyerang import itu terlepas peluang yang terhidang.

Meskipun mendominasi perlawanan, banyak percubaan MUFC dalam usaha mencari gol awal berjaya dipatahkan benteng pertahanan pelawat.

Sebaliknya, tuan rumah tiba-tiba sahaja tersentak pada minit ke-39 apabila Penang FC membuka tirai jaringan menerusi Casagrande yang menerima umpanan Mohamad Al Hafiz Harun sekali gus memberikan kelebihan buat pelawat mendahului satu gol pada rehat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, pelawat hanya memerlukan tiga minit sahaja untuk menggandakan jaringan sekali lagi menerusi Casagrande.

Gol itu diperolehi hasil tindakan bijak pemain dari Brazil itu melepasi pertahanan tuan rumah apabila melihat bola hantaran Al Hafiz ke tengah kotak penalti.

MUFC yang tersentak dengan gol kedua itu kembali mengemaskan permainan dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-62 menerusi Stefan Nikolic yang masuk menggantikan Goncalvez pada awal separuh masa kedua.

Ia merupakan gol pertama pemain kelahiran Montenegro itu dalam penampilan pertamanya bersama MUFC musim ini selepas pulih daripada kecederaan.

Seakan mendapat semangat baharu, MUFC mula merencanakan serangan bertali arus ke kubu pelawat bagi mencari gol penyamaan.

Namun percubaan yang direncana tidak cukup untuk membantu pasukan apabila keputusan 1-2 kekal sehingga pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah meniupkan wisel penamat.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1491
Kongsi :
Previous post Agong zahir rasa bangga kejayaan pemain muda badminton negara
Next post Seorang maut, tiga kru kapal kritikal terhidu gas amonia
Ubah saiz-+=