MUFC terkesima ‘lakonan’ Beto
SIMULASI dilakukan pemain gantian Kelab Bolasepak Petaling Jaya City (PJ City FC), Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri disifatkan punca tercetusnya insiden kontroversi penalti dalam aksi menentang Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) di Stadium MBPJ Petaling Jaya yang berkesudahan seri 2-2, malam semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, ‘lakonan’ merebahkan badan dalam kotak penalti dilakukan pemain yang mesra dengan panggil ‘Beto’ itu membuatkan ramai pihak terkesan, khususnya barisan pemain skuad Hang Tuah sendiri.
Berikutan itu, pihaknya menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar mengambil tindakan tegas kepada pemain berkenaan kerana melanggar etika semangat kesukanan.
“Selepas ‘post-mortem’ semalam ada pemain kita mendengar pembantu pengadil memaklumkan tiada penalti dan kad kuning perlu dilayang kepada pemain PJ City FC.
“Namun, kita kesal apabila pengadil bukan sahaja menghukum kita dengan menghadiahkan penalti kepada lawan, tetapi turut melayangkan kad kuning kepada pemain kita, S Kumaahran yang tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Jadi dalam surat yang sudah kita hantar pagi tadi, kita bukan sahaja mahu pengadil dan Beto dikenakan tindakan tetapi kita juga membuat bantahan terhadap layangan kad kuning yang dikenakan ke atas Kumaahran,” katanya yang ditemui selepas mengadakan kunjung hormat dengan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Seri Negeri, hari ini.
Diminta mengulas prestasi semasa pasukan selepas dua perlawanan, Mohd Saiful mengakui tidak selesa melihat corak permainan dan ketidakserasian yang dipamerkan barisan pemain ketika ini.
Menurutnya, satu perjumpaan akan diadakan bersama pemain dan pegawai dalam masa terdekat bagi mengetahui lebih lanjut segala permasalahan yang berlaku.
“Prestasi kita ketika ini jauh berbeza dengan apa yang dipamerkan dalam aksi pramusim sebelum ini. Saya nampak kita tidak bermain dalam satu pasukan dan corak permainan juga masih lemah.
“Jadi, saya berharap sangat rentak pasukan akan pulih dan dapat kembali bersaing dalam perlawanan menentang Pahang, Sabtu ini,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.