MUFC tebus maruah di Ipoh
IPOH 25 April – Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) menebus maruah dua kekalahan di laman sendiri sebelum ini apabila mencipta kemenangan kedua berturut-turut di tempat lawan selepas menundukkan Perak FC dalam aksi di Stadium Ipoh, malam tadi.
Kemenangan skuad Hang Tuah dijelmakan menerusi jaringan tunggal Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-61 itu sekali gus berjaya memintas The Bos Gaurus dengan menduduki tangga ke-8 Liga Super dengan mengutip 10 mata daripada 10 perlawanan.
Dalam aksi di hadapan penyokong The Bos Gaurus itu, tuan rumah bermula garang dengan melakukan asakan demi asakan sebaik wisel permulaan dengan menyerang kubu pertahanan pelawat.
Namun, ia gagal membolosi kubu MUFC yang dikawal Norazlan Razali.
Begitupun, anak buah Zainal Abidin Hassan berjaya memperoleh peluang keemasan pada minit ke-36 menerusi sepakan pantas Ahmad Syamin Yahya hasil umpanan Sony Norde, malangnya ia sedikit tersasar.
Kedua-dua pasukan cuba meleraikan kebuntuan gol namun gagal sehingga ke tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, MUFC cuba melakukan sesuatu untuk mendapatkan gol namun peluang yang hadir menerusi tandukan Sukwon Jang pada minit ke-56 sekadar menggegar palang gol tuan rumah.
Gol yang dicari-cari akhirnya muncul pada minit ke-61 menerusi jaringan Wan Zaharulnizam yang mesra dengan panggilan ‘Kecik’.
Gol itu terhasil berpunca daripada kealpaan barisan pertahanan Perak FC yang membolehkan Stefan Nikolic mencuri peluang dan melakukan hantaran kepada Kecik untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Walaupun pasukan tuan rumah cuba bangkit di minit-minit akhir perlawanan, namun disiplin bertahan yang dipamerkan pemain MUFC membolehkan keputusan kekal hingga tamat permainan sekali gus membawa pulang tiga mata berharga dari Ipoh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.