MUFC sedia beri cabaran hebat musim 2022

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MELAKA, 14 Jan – Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) telah melunaskan keseluruhan tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan Liga Super itu bagi musim 2021, hari ini.

Kelab itu dalam satu kenyataannya hari ini berkata bayaran tunggakan gaji pasukan itu dibuat selepas penstrukturan kewangan dan pentadbiran yang dilaksanakan oleh pengurusan Melaka United.

“Dengan penyelesaian ini, perancangan Melaka United dilihat berada pada landasan yang tepat selain dalam fasa mempersiapkan pasukan bagi memberikan cabaran yang hebat dalam Liga Malaysia pada musim ini yang akan bermula pada 5 Mac.

Pihak pengurusan Melaka United ingin merakamkan terima kasih kepada pemilik MUFC iaitu KenTeam Sdn Bhd yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Justin Lim kerana telah memikul segala tanggungjawab sejak tahun 2021,” katanya di sini hari ini.

Katanya MUFC juga berterima kasih dengan doa dan sokongan penyokong pada skuad Sang Kancil selama ini dan berharap musim 2022 menjadi tahun yang lebih berjaya dan gemilang buat Melaka United.

Sementara itu pengendali Melaka United musim lepas Zainal Abidin Hassan turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan MUFC terutamanya pemilik kelab (Justin Lim) yang berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji.

Katanya biarpun pasukan itu dilanda dengan isu berkenaan musim lalu, namun beliau dan pasukan pada ketika itu tetap menaruh kepercayaan kepada kelab dengan terus memberikan yang terbaik sepanjang saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim lepas.

“Kami di dalam pasukan sedar dan memahami dengan keadaan yang dihadapi kelab ketika itu sehingga timbul isu tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan, namun segalanya dapat diselesaikan sehingga akhirnya kami menerima keseluruhan gaji yang tertunggak.

“Kami percaya ini adalah hasil usaha semua pihak di MUFC yang telah berusaha sebaik mungkin dalam memastikan isu ini dapat diselesaikan segera dan diharapkan perancangan kelab bagi musim akan datang tidak terjejas dengan isu-isu yang berbangkit,” katanya.

Zainal juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang perjalanan pasukan itu membawa nama Melaka United bersaing dalam Liga Malaysia musim lalu selain mendoakan pasukan itu akan lebih berjaya pada masa akan datang. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

605
Kongsi :
Previous post Jalan sempit Pantai Siring akan dinaik taraf – MPJ
Next post Tiga ikon pelancongan baharu akan dibangunkan di Jasin
Ubah saiz-+=