MUFC pulang hampa di Likas

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

REKOD kemenangan dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) akhirnya terhenti apabila tewas 1-3 di tangan Sabah FC dalam aksi di Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Biarpun turun dengan barisan terkuatnya, skuad Hang Tuah dilihat sedikit bergelut apabila kerap diasak sebaik wisel permulaan dan dibolosi seawal minit ke-6 menerusi bekas penyerang kebangsaan, Amri Yahyah.

Gol itu berpunca daripada sepakan sudut rendah Saddil Ramdani yang ditanduk Amri untuk menewaskan penjaga gol MUFC Norazlan Razali.

Pelawat yang tersentak cuba mencari gol penyamaan seminit selepas itu, namun rembatan kencang Sony Norde sekadar melewati palang.

Sebaliknya pada minit ke-16, gawang MUFC sekali lagi dibolosi menerusi Azizan Nordin yang bijak melepaskan diri daripada pemain pertahanan MUFC sebelum merembat deras bola ke arah kanan pintu gol.

Saddil hampir sahaja menambah gol ketiga buat tuan rumah pada minit ke-24, mujurlah sepakan percuma terus ke arah gol berjaya dibaca Norazlan yang sempat menumbuk keluar bola untuk memberikan sepakan sudut kepada Sabah.

Biarpun pelawat cuba bangkit untuk menyaingi semula permainan, namun ketumpulan penyudah merencatkan hasrat mereka dan keputusan dua gol tanpa balas memihak Sabah FC kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, Zainal Abidin Hassan melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Mohamad Fakhrullah Rosli dan Mohamad Hasbullah Abu Bakar bagi menggantikan Alex dos Santos Goncalvez dan Wan Zaharulnizam.

Sebaliknya, MUFC terus dirundung duka hanya dua minit selepas perlawanan bersambung apabila Amri sekali lagi membolisi gawang menerusi satu rembatan cantik menewaskan Norazlan.

Biarpun berdepan tekanan dengan defisit tiga gol, MUFC dilihat terus berusaha melakukan asakan untuk memburu gol.

Hasilnya, mereka berjaya merapatkan jurang pada minit ke-65 menerusi Fakhrullah yang memanfaatkan bola muntah dari tangan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining sebelum merembat kencang menerjah jaring.

Seakan mendapat semangat baharu, MUFC terus menggadakan asakan dengan hasrat untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata berharga di tempat lawan.

Namun, harapan itu terkubur apabila tiada gol terhasil hingga pengadil, Zulkarnain Zakaria meniupkan wisel penamat.

Kekalahan itu menyaksikan MUFC semakin menghampiri zon penyingkiran Liga Super dengan hanya mengutip 10 mata daripada 12 perlawanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post Bapa, 3 abang kandung mengaku tak bersalah rogol, liwat gadis
Next post Melaka antara negeri terawal hasil air pulih guna
Ubah saiz-+=