MUFC kekalkan rekod tanpa kalah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) melebarkan rekod tanpa kalah selepas terikat 1-1 dengan Kelab Bolasepak Terengganu (TFC) dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.

Ia keputusan seri keempat berturut-turut dilakar skuad Hang Tuah selepas memulakan saingan Liga Super musim 2021.

Anak buah Zainal Abidin Hassan terlebih dahulu di depan seawal minit ke-3 selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan TFC, Muhamad Shahrul Nizam Roshani.

Alex dos Santos Goncalves yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan itu tenang menewaskan Muhammad Rahadiazli Rahalim, sekali gus membuka akaun jaringannya bersama MUFC.

Pasukan pelawat yang terus menguasai perlawanan dilihat hampir-hampir sahaja menambah jaringan pada minit ke-16, namun sepakan lencong Sony Norde berjaya ditepis penjaga gol TFC.

Selepas itu beberapa situasi kucar-kacir di hadapan gawang tuan rumah juga gagal dimanfaatkan pelawat untuk meletakkan pasukan di kedudukan selesa sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, tuan rumah yang tampak terdesak melakukan tiga pertukaran pemain dalam usaha mencari gol penyamaan.

Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila TFC berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-66 menerusi Jordan Mintah yang menerima umpanan cantik Dechi Marcel N’Guessan ketika melakukan serangan balas.

MUFC hampir sahaja berada di depan pada minit ke-78 menerusi pemain gantian, Wan Zaharulnizam.

Sayangnya, peluang keemasan di depan pintu gol itu gagal dimanfaatkan apabila tampanannya tinggi melewati palang.

Kedua-dua pasukan dilihat saling mengasak untuk mencari gol kemenangan, namun keputusan 1-1 kekal sehingga pengadil perlawanan Noor Azriel Baharudin meniupkan wisel penamat.

Keputusan seri itu menjadikan MUFC pasukan pertama berjaya menamatkan rentak kemenangan berturut-turut yang direkodkan TFC dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

550
Kongsi :
Previous post Pokok tumbang imbau zaman kanak-kanak -Sulaiman
Next post Kecut perut 15 kilometer dihambat polis
Ubah saiz-+=