MUFC hapus badi seri
Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) akhirnya memperoleh kemenangan pertama Liga Super musim 2021 selepas menewaskan Kelab Bolasepak Kuala Lumpur City (KL City FC) 2-1 dalam aksi di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Kedua-dua gol skuad Hang Tuah dijaringkan penyerang import dari Brazil Alex dos Santos Goncalves pada separuh masa kedua.
Kemenangan itu sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah pasukan dalam lima perlawanan berturut-turut musim ini.
Sepanjang sepak mula separuh masa pertama, tidak banyak aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan dengan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah.
KL City FC selaku pelawat bagaimanapun memperoleh peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Muhammad Hadin Azman yang berjaya mengucar-kacirkan kubu pertahanan lawan dan melakukan rembatan tepat ke arah gol.
Aksinya bagaimanapun dapat dibaca Khairul Fahmi Che Mat yang lebih bersedia menafikan percubaan itu.
Pada minit ke-37, giliran tuan rumah pula memperoleh peluang menjaringkan gol apabila Sony Norde bijak mengumpan bola kepada Manuel Ott yang tidak dikawal di dalam kotak penalti.
Sayangnya, rembatan kencang pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina itu liar melewati palang gol dan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat 45 minit pertama.
Bersambung di babak kedua, MUFC hanya memerlukan enam minit untuk membuka tirai jaringan selepas dihadiahkan sepakan penalti berpunca daripada kekasaran yang dilakukan pertahanan import KL City FC Giancarlo Gallifuoco ke atas Alex dos Santos Goncalves.
Goncalvez yang mengambil sepakan tersebut tenang menewaskan Kevin Rau Mendoza Hansen.
Berbaki sembilan minit perlawanan, MUFC terus mengukuhkan cengkaman menerusi Goncalvez yang sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti kedua buat pasukan selepas bola terkena tangan pemain gantian KL City FC, Indra Putra Mahayuddin.
KL City FC yang tampak terdesak, cuba bangkit di minit-minit akhir permainan dan hasilnya mereka berjaya merapatkan jurang pada minit ke-89 menerusi Abdul Azim Rahim.
Bagaimanapun gol itu tidak mengubah apa-apa dan keputusan 2-1 memihak MUFC kekal sehingga pengadil, Mohd Shahrizan Mohamad Solihim meniupkan wisel penamat.
Kemenangan pertama itu nyata menyuntik moral anak buah Zainal Abidin Hassan yang sebelum ini mencatat keputusan seri empat kali berturut-turut selain turut dipotong tiga mata oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) susulan kegagalan melunaskan baki tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.