Sorting by

×

MUFC diam-diam berisi

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

WALAUPUN persiapan musim ini kelihatan agak sepi dan tidak rancak seperti kelab-kelab lain, namun itu bukan bermakna Melaka United FC (MUFC) tidak serius menghadapi saingan Liga Super 2021.

Sebaliknya, pasukan yang terkenal dengan julukan skuad Hang Tuah itu masih berfungsi seperti biasa dengan 95 peratus pemain tempatan sudah dilengkapkan dan kini sedang dalam fasa menunggu kehadiran tiga pemain import yang baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saiful Mat Sapri pihaknya kini sudah mendapat lampu hijau untuk menerbangkan pemain import dari Brazil, Croatia dan Filipina ke bumi bersejarah, yang mana kesemua mereka dijangka akan mula menjalani latihan pada 20 Januari depan.

“Kita telah mendapat kelulusan daripada pihak imigresen untuk kemasukan pemain dari Brazil, Croatia dan Filipina ke Malaysia. Jadi mereka sudah melalui ujian calitan (swab test) di negara mereka dan apabila sampai ke Malaysia mereka akan dikuarantin selama 10 hari di suatu tempat.

“Selepas itu, barulah mereka akan menjalani latihan bersama pasukan yang kita jangka paling lewat pada 20 Januari ini sebagai persediaan menghadapi perlawanan pra musim,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai aksi pra musim, Saiful berkata, pihaknya telah menerima jemputan aksi persahabatan yang dianjurkan oleh juara Liga Super enam kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) pada awal bulan depan.

Perlawanan persahabatan itu, ujarnya bakal melibatkan lima buah pasukan iaitu JDT, JDT II, Terengganu FC dan Sri Pahang FC, selain MUFC sendiri.

“Perlawanan persahabatan ini bolehlah dianggap sebagai persiapan pra musim kita, yang mana melalui perlawanan inilah kita akan menguji kesebelasan yang ada, termasuklah melihat kemampuan pemain import kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, berhubung ura-ura mengaitkan MUFC bakal terjerumus ke liga divisyen tiga (Liga M3) berikutan kegagalan melengkapkan beberapa dokumen penswastaan, Saiful optimis perkara itu tidak akan terjadi.

Ini kerana ujarnya, dokumen-dokumen tersebut kini sudah 90 peratus siap dan hanya memerlukan satu ke dua hari sahaja lagi untuk dilengkapkan.

“Buat masa ini, tiada isu mengenai perkara itu. Kita hanya tinggal proses lengkapkan dokumen jadi tidak timbul kerisauan pasukan akan jatuh ke Liga M3,” tegasnya.

Views:

468
Kongsi :
Previous post Amaran cuaca buruk dan waspada di empat negeri
Next post Banjir makin buruk di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak
Ubah saiz-+=