Mudahkan rakyat Melaka miliki kediaman – KM
PENGKALAN BATU 21 Julai – Bukan sekadar mahu melihat sektor hartanah dan ekonomi terus berkembang, sebaliknya Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mencari jalan agar lebih ramai rakyat Melaka dapat memiliki kediaman idaman mereka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, segmen kediaman khususnya perumahan mampu milik perlu terus dikembangkan bagi menyediakan lebih banyak kediaman selesa untuk rakyat Melaka.
Ab Rauf berkata, kerajaan sedia mengkaji saranan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka berhubung sektor perumahan negeri ini.
“Kerajaan amat memahami harga rumah tidak seperti dahulu sekitar RM35,000 sahaja. Rumah yang sama pada masa kini boleh mencecah RM180,000 bahkan lebih lagi atas faktor tertentu, oleh itu Kerajaan Negeri sentiasa berusaha bagi memastikan rakyat Melaka terus mampu memiliki kediaman.
“Dasar Perumahan Negeri Melaka juga menggariskan syarat penyediaan masing-masing 10 peratus rumah kos rendah berharga RM70,000 dan rumah kos sederhana berharga RM120,000.
“Sementara itu 15 peratus rumah mampu milik IMPIAN A berharga RM180,000 dan 15 peratus lagi rumah mampu milik IMPIAN B dengan harga sehingga RM250,000 bagi projek pembangunan di Melaka selain pembangunan Tanah Adat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah (MAPEX) Negeri Melaka 2023 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkifli Mohd Zin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka Datuk Ng Choon Koon; Penganjur MAPEX Datuk Ngoh Chun How; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Mohd Salleh Hamidom serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga menyambut baik inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti semula syarat menetapkan pemaju perumahan untuk menyediakan 30 peratus kediaman mampu milik dalam setiap projek dibangunkan dibawah kajian Dasar Perumahan Negara baharu diselarikan dengan konsep perumahan MADANI.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.