Mudah petik buah rambutan ‘kemetot’
TANJUNG BIDARA 14 Julai – Dengan ketinggian hanya 1.5 meter, pokok rambutan rendah milik Jamilah Nasir, 61, mudah dipetik buahnya.
Pokok itu yang digelar pemiliknya sebagai pokok ‘kemetot’ berikutan saiznya yang rendah sudah memberikan kemudahan kepadanya untuk menikmati buahnya sejak setahun lalu.
Katanya, pada mulanya, dia menanam benih rambutan dalam pasu dan selepas ia bercambah beberpaa bulan selepas itu, ia dipindahkan ke tanah di halaman kediamannya di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini.
“Tiada niat untuk menanamnya ketika itu, saya cuma mengambil biji rambutan yang saya makan isinya dan saya campakkan ke dalam pasu.
“Bagaimanapun, benih itu bercambah menjadi anak pokok dan saya meletakkan baja bagi menggalakkan tumbesarannya dan alhamdulillah selepas beberapa bulan, ia semakin tinggi, lalu saya mengubahnya ke tanah,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.
Ibu tunggal itu berkata, dia menggunakan baja penggalak bunga pada pokok berkenaan dengan harapan dia cepat mengeluarkan bunga sebelum mengeluarkan buah.
Keganjilan pokok itu mula dikesan setahun lalu apabila ia mula mengeluarkan buah sedangkan ketinggiannya hanya kira-kira 1.5 meter, katanya.
Pertama kali menikmati buah berkenaan menyebabkan dia seakan-akan sukar untuk percaya pokok setinggi itu mampu mengeluarkan buah yang manis dan longkah.
“Setiap kali musim rambutan tiba pada Jun atau Julai, pokok itu tidak pernah mengecewakan saya dan saya serta anak cucu tidak perlu bersusah payah mengait buah dengan galah,” katanya.
Dia berkata, jiran dan tetamu yang hadir di kediamannya tidak mahu ketinggalan daripada menikmati pengalaman memetik buah berkenaan dengan kaedah yang amat mudah berbanding terpaksa memanjat atau mengait pada pokok rambutan yang lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.