Sorting by

×

Muat turun aplikasi I-Trafik, elak kesesakan lalu lintas – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 28 Oktober – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjangkakan seramai 70,000 pelancong menggunakan aplikasi I-Trafik pada setiap bulan bagi mendapatkan maklumat kelancaran aliran trafik di negeri ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata bagaimanapun jumlah itu dijangka dapat dicapai bermula tahun 2023 memandangkan aplikasi itu baharu sahaja dilancarkan pada September lalu.

Menurutnya, sehingga kini masih belum ramai pengguna yang memuat turun aplikasi tersebut, namun keberkesanan aplikasi itu sudah tentu dapat membantu pelancong mendapatkan maklumat jika ke Melaka.

“Mungkin kita tidak nampak keberkesanan atau manfaat aplikasi ini, tetapi untuk pelancong luar mereka lihat sendiri aliran trafik di Melaka terutama pada musim cuti sekolah atau hujung minggu.

“Kita tidak letakkan sasaran, cukuplah kita kata kalau setahun ada 15 juta pelancong dan semua pelancong ini ada kategori bawa kereta bukan naik bas.

“Kalau sebulan ada satu juta pelancong daripada jumlah itu dalam 60 atau 80 peratus bawa kenderaan sendiri iaitu dalam 800,000, jadi kita jangka 70,000 sahaja setiap bulan, tapi kita tidak boleh capai tahun ini kerana aplikasi ini baru sebulan lebih dilancarkan.

“Untuk buat ‘survey’ (pemerhatian) statistik kita belum dapat maklumat lengkap lagi, namun daripada segi respon diterima aplikasi ini menunjukkan ia membawa manfaat kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Katanya, biarpun tidak ramai yang memuat turun aplikasi itu, namun usaha bagi membuat hebahan sentiasa dipergiatkan memandangkan aplikasi tersebut percuma.

“Hendak dapatkan jumlah pengguna yang memuat turun aplikasi ini tidak boleh dicapai tahun ini kerana baharu dilancarkan, kita memerlukan sedikit masa untuk membuat hebahan kepada semua,” katanya.

Untuk rekod MBMB memperkenalkan aplikasi I-Trafik bagi memberi maklumat waktu sebenar (real time) keadaan lalu lintas kepada pengguna jalan raya.

Aplikasi itu memberikan maklumat 33 persimpangan utama dibawah kendalian MBMB meliputi keluasan 4.2 batu persegi atau 10.877 kilometer persegi.

Kemudahan ini boleh dimanfaatkan pengguna jalan raya untuk mencari laluan alternatif bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan, pengguna boleh memuat turun melalui pautan itrafikmbmb.gov.my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2827
Kongsi :
Previous post Ajal tiga beranak dalam nahas jalan raya
Next post Lelaki Bangladesh didenda RM2,000 lari sekatan, pukul polis
Ubah saiz-+=