Mualaf di Melaka meningkat
BANDA HILIR 5 Februari – Bilangan mualaf di Negeri Melaka meningkat saban tahun berdasarkan data yang diterima Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, susulan peningkatan itu, Balai Islam MAIM telah membuka sebanyak 23 kelas Fardhu Ain Mualaf (KAFAF) pada tahun ini.
Katanya, berbanding 18 kelas tahun lalu, lima lagi kelas KAFAF baharu telah dibuka pada Januari tahun ini bagi memudahkan saudara baharu itu mendalami ilmu Fardu Ain.
“Setakat Januari tahun ini, seramai 23 mualaf telah memeluk agama Islam, dan kita yakin akan ada peningkatan jumlah ini pada setiap bulan.
“Berbanding tahun lalu, secara keseluruhan seramai 175 orang mualaf baharu di Negeri Melaka.
“Dan menerusi Balai Islam kita juga menyalurkan pelbagai bantuan untuk memudahkan golongan mualaf mendalami ilmu agama terutama membabitkan mereka yang baru memeluk Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Majlis Apresiasi Mualaf Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim; Pengurus Baitulmal MAIM, Hairulamin Mohd Sis dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam, Nasir Wahab.
Menerusi majlis itu juga seramai 39 orang anak mualaf yang cemerlang dalam peperiksaan utama turut diraikan bersama 126 pelajar KAFAF yang cemerlang.
“Kita mahu golongan mualaf ini terus belajar dan mendalami ilmu agama Islam bagi memperkukuhkan keimanan dalam mendepani pelbagai mehnah dan tribulasi yang melanda umat Islam kini.
“Hanya melalui pengukuhan sistem pendidikan yang menggabungkan dalil Aqli dan Naqli mampu menyelamatkan masyarakat Islam terutama golongan mualaf daripada terkeliru dan terpengaruh isu penyelewengan penafsiran ilmu yang salah,” tambah Md Rawi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.