MTSB tawar diskaun 10 peratus kepada pengunjung lahir bulan Ogos
BANDA HILIR 11 Ogos- Menara Taming Sari Berhad (MTSB) menawarkan potongan harga sebanyak 10 peratus kepada pengunjung yang lahir pada bulan Ogos bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azlan Abidin berkata potongan harga itu ditawarkan kepada anak jati Negeri Melaka atau mana-mana pelawat luar yang lahir pada bulan berkenaan.
Sementara itu katanya, bagi pengunjung lahir pada tanggal 31 Ogos pula mereka berpeluang membawa peluang hadiah istimewa selain menikmati potongan ditawarkan.
“Tawaran ini adalah sebagai tanda penghargaan MTSB, selain menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.
“Diharapkan dengan usaha dan promosi ini dapat membantu kami mencapai sasaran 40,000 pengunjung hanya untuk Ogos sahaja,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Azlan berkata pengunjung perlu mengikuti terma dan syarat ditetapkan MTSB untuk menikmati diskaun tersebut.
“Tawaran diskaun istimewa ini hanya buat golongan dewasa dan kanak-kanak, tidak sah bagi warga emas atau orang kurang upaya (OKU).
“Pengunjung perlu mengemukakan MyKad semasa pembelian tiket. Jika layak tiket dewasa berharga RM17 menjadi RM15.30, tiket kanak-kanak pula dari harga RM11 menjadi RM9.30.
“Tawaran diskaun ini bermula dari 1 sehingga 31 Ogos 2023,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.