Sorting by

×

MTSB BAKAL BANGUNKAN VR PARK

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 4 November – Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) bakal memperkenalkan produk baharu iaitu Taman Realiti Maya (VR Park) dijadual dilancarkan pada awal tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasrul Ahmad berkata, cadangan VR Park tersebut merupakan antara beberapa strategi MTSB bagi menambah produk baharu, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap produk utamany iaitu Menara Taming Sari.

“Berkenaan saranan daripada Ketua Menteri (Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh), pihak MTSB perlu mencari alternatif baharu bagi memantapkan lagi ekonomi dan juga kewangan, kami di pihak pengurusan telah merancang beberapa strategi baharu.

“Kami tidak hanya mengharapkan produk Menara Taming Sari sahaja, tetapi MTSB bercadang untuk membina VR Park yang mana perkara ini sudah sampai ke peringkat akhir untuk kami putuskan dan saya merasakan ia akan menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya pada awal tahun hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran Baharu MTSB yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Plaza Mahkota, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Azhar Arshad, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Pengerusi MTSB; Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, merangkap Timbalan Pengerusi MTSB , Datuk VP Shanmugam, barisan Exco dan Timbalan Exco serta wakil-wakil jabatan.

Sementara itu, beliau memberitahu, menerusi penempatan pejabat pentadbiran baharu di Plaza Mahkota, ia memberikan nilai tambah kepada MTSB daripada segi penjimatan kos serta pengurusan organisasi yang lebih baik.

“Sebelum ini, pejabat pentadbiran kami ialah di Kota Cemerlang, Ayer Keroh dan sebuah lagi pejabat mudah alih (mobile) di perkarangan Menara Taming Sari, kedua-duanya menyebabkan kami terpaksa menanggung kos tambahan setiap bulan.

“Dengan adanya pejabat baharu ini, ditambah pula berhadapan dengan Menara Taming Sari, ia telah memberi penjimatan hampir RM8,000 setiap bulan, selain turut memudahkan kami mengurus hal kakitangan serta organisasi ini dengan lebih baik serta tersusun,” katanya.

Beliau turut menambah, MTSB yakin Disember nanti, Menara Taming Sari mampu capai jumlah sasaran iaitu 700,000 pengunjung rentetan jumlah pengunjung untuk bulan Oktober tahun ini catat peningkatan iaitu 500,000 pengunjung berbanding 400,000 pengunjung pada Oktober 2023.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post POLIS RAMPAS DADAH LEBIH RM2.2 JUTA, TAHAN LIMA INDIVIDU
Next post LELAKI MENGAMUK DI PLAZA TOL POSITIF SYABU, MILIKI 17 REKOD LAMPAU DITAHAN
Ubah saiz-+=